KONTUR SECARA LANGSUNG

 

Kaedah ini adalah kaedah yang memerlukan tempoh yang panjang untuk disiapkan.

Tenaga kerja yang ramai diperlukan untuk menggunakan kaedah ini.

Kaedah ini tidak begitu gunakan untuk membuat kerja kontur yang mempunyai skala yang besar.

Tetapi, kaedah ini adalah kaedah yang dianggap paling tepat dan sesuai untuk kerja membuat kontur yang memerlukan ketepatan.

Kebaikan kaedah ini: memerlukan kurang tenaga kerja pejabat dalam memplot garis-garis kontur.

Keburukan kaedah ini: memerlukan kerja tambahan iaitu kerja merantai terpaksa dilakukan untuk menentukan kedudukan piket-piket.

Kaedah ini hanya sesuai untuk sektor kerja yang kecil dan bercerun yang agak sekata yang memerlukan sela kontur yang kecil.

        Cara ini terdiri daripada 2 proses:

Kawalan Pugak

Kawalan Datar

 

Kawalan Pugak

 

Kawalan pugak melibatkan penetapan kedudukan kontur yang sebenar terus di atas permukaan bumi.


        Langkah-langkah kerja kawalan pugak

  1. Lengkapkan suatu kerja ukur aras dari batu aras Ordnance bagi membentuk satu batu aras sementara yang terletak berhampiran kepada tapak membuat kerja kontur.

    Batu aras sementara ini mestilah bebas dari sebarang gangguan kerja binaan yang akan dijalankan supaya tanda ini tidak akan dihapuskan.

  2. Alat aras didirisiapkan di atas padang iaitu di mana kerja membuat kontur akan dilakukan.
    Ketinggian alat aras hendaklah diukur dan dicatatkan.

  3. Suatu bacaan pandangan belakang (PB) akan dibuat kepada batu aras sementara dan akan menghasilkan ketinggian garis kolimat yang diperlukan.
    Maka bacaan-bacaan yang hendak dicerap untuk setiap kontur dapat dikira.

    Contohnya: katakanlah,

    Pandangan belakang yang dibuat kepada batu aras sementara 32.66m = 1.33m
    Jadi,
    Ketinggian garis kolimat = 32.66m + 1.33m
                                        = 33.99m.

    Sekiranya staf didirikan di atas permukaan bumi yang akan dibuat konturnya, dan bacaan staf yang diperolehi = 1.99m,
    Jadi,
    Aras laras bagi permukaan bumi di mana staf didirikan = 32.00m.

    Sekiranya bacaan staf diperolehi tidak bersamaan dengan 1.99m,  maka staf ini akan dipindahkan.
    Iaitu pemegang staf dikehendaki bergerak ke mana-mana titik di sekitar sehinggalah bacaan staf yang diperolehi bernilai 1.99m.

    Apabila bacaan ini diperolehi, pemegang staf dikehendaki memasang piket pada tempat di mana staf didirikan.

    Kerja membuat kontur ini dilakukan dengan satu garis kontur untuk satu masa.
    Dan dengan menggunakan cara yang sama, proses ini diulangi sehinggalah bilangan piket yang mencukupi telah dipasang bagi menentukan garis kontur 32.0m.

       Setelah ditentukan suatu garis kontur yang lengkap yang dapat dilihat dari alat aras, maka    garis kontur yang berikutnya akan ditentukan.
        Piket akan dipasang  dengan menggunakan cara yang sama.

        Contohnya:

        Sekiranya garis kontur yang berikut adalah 33.0m, staf akan dipindahkan sehingga  bacaan  staf  yang diperolehi bernilai 0.99 diperolehi.

  1. Apabila seluruh kawasan yang dapat dilihat dari alat aras ini telah diliputi, maka bacaan pandangan hadapan pula diambil.

  2. Selepas itu, alat aras dipindahkan dan didirisiapkan di atas stesen yang lain bagi meliputi bahagian kawasan yang lain dan proses yang sama akan diulangi.

  3. Alat aras ini dipindahkan lagi selepas cerapan siap dilakukan, sehinggalah seluruh kawasan ukur telah pun dipasangkan dengan piket dan suatu pandangan hadapan yang akhir boleh dibuat balik kepada batu aras sementara.

  4. Dengan ini, semua kedudukan bagi garis-garis kontur telah dilengkapkan.

  5. Lebih baik sekiranya dicatatkan bacaan aras laras permukaan bumi di atas piket ataupun menggunakan warna berbeza untuk mewarna piket bagi setiap garis kontur berbeza.
    Ini adalah untuk mengelakkan kekeliruan untuk membezakan setiap garis kontur.

Kawalan Datar



Proses ini adalah untuk mengukur kedudukan kontur yang telah ditetapkan bagi membolehkan kedudukan ini diplot.

Selepas kesemua garis-garis kontur dipasangkan piket-piket di atas permukaan bumi, maka piket-piket ini akan ditentuletak bagi membolehkan ianya diplot.

Piket-piket ini boleh ditentuletak kedudukannya dengan melalui salah satu daripada ketiga-tiga cara ini,iaitu:

        Cara-cara menentuletak kedudukan piket-piket:

Kaedah Ukur Rantai

Kaedah Rentasan Kawalan

Kaedah Kutub

Kaedah Ukur Rantai

 

Kaedah ini sesuai dilakukan untuk kawasan yang berkeluasan kecil.

Satu rangkaian segitiga dibentuk oleh garisan-garisan ukur.

Oleh itu, kedudukan piket-piket ini dapat ditentuletak dengan membuat ofset-ofset dari garisan rantai.

                                    Kaedah Rentasan Kawalan

Dengan menggunakan kaedah ini, garisan-garisan ukur yang lebih sesuai kedudukannya dapat dibentuk.

Oleh itu, dengan mengadakan satu siri garisan-garisan rentasan yang berdekatan dengan kedudukan piket-piket ini, maka ini akan membolehkan ofset-ofset dibuat kepada piket-piket yang berkenaan itu dari garisan rentas.

Kaedah Kutub

Bearing dan jarak dari stesen rentasan dapat dibuat kepada pelbagai kedudukan piket.

Bearing ini boleh diperolehi dari cerapan kompas atau teodolit dan jarak-jarak ini akan diukur secara langsung dengan menggunakan rantai ukur atau pita ukur ataupun secara tidak langsung melalui cerapan tekimeter.

 

Melukis Plotan Secara Langsung

Kedudukan piket-piket akan dapat diplot berdasarkan dari maklumat-maklumat yang diperolehi dari ukur kawalan ufuk dan aras laras untuk setiap piket yang  juga dicatatkan.

Garis-garis kontur yang berbentuk garisan lengkung kemudiannya dilukiskan melalui kedudukan piket-piket yang menandakan setiap garis kontur.