CIRI-CIRI ALAT EDM

Alat-alat EDM secara mudah dikelaskan mengikut jenis gelombang pembawa yang digunakan.

Alat Gelombang Mikro


Frekuensi gelombang pembawa yang digunakan dalam kumpulan alat ini biasanya adalah 10 GHz.   (1 GHz = 109)

Frekuensi ini mampu dihantar bagi jarak jauh sehingga 100 km dalam keadaan cuaca cerah dan ciri alat EDM adalah jarak jauh.

Teknik-teknik perbandingan fasa digunakan untuk mengukur jarak dan isyarat perlu dikembalikan ke titik bandingan .Oleh itu, satu bentuk pemantul mesti digunakan di hujung garisan yang jauh.
Pemantul pasif yang digunakan pada frekuensi ini akan hanya mengembalikan isyarat yang sangat lemah. Oleh itu, pemantul isyarat elektronik perlu digunakan. Ini dilakukan dengan meletakkan satu alat lagi di hujung garisan yang jauh.
Alat ini dalam sesetengah kes adalah serupa dengan alat mengukur atau alat induk. Alat jauh ini menerima isyarat yang dihantar, menguatkannya dan menghantarkannya semula kepada alat induk dengan fasa yang sama seperti mana ia diterima.
Oleh itu, perbandingan fasa boleh dilakukan dengan dan oleh kerana isyarat diperkuatkan dan juga dibalikkan, jarak yang lebih jauh boleh diperolehi.

Alat-alat EDM gelombang mikro memerlukan dua alat dan dua operator untuk mengukur sesuatu jarak.

Kemudahan bercakap antara induk dan alat jauh disediakan dalam semua alat gelombang mikro untuk membantu operator meneruskan kerja pengukuran.

Julat maksimum bagi alat-alat ini adalah 25 - 50 km.

Kejituan adalah dalam lingkungan +10mm +3mm/km.
Komponen tetap kejituan ini adalah disebabkan oleh selisih-selisih alat manakala komponen bolehubah adalah disebabkan oleh selisih-selisih atmosfera.

Dalam kejuruteraan awam, kebanyakan alat gelombang mikro digunakan bagi mewujudkan kawalan untuk projek-projek yang besar dan alat ini juga digunakan dalam terabas untuk jalan dan saluran paip.

Alat-Alat Infra Merah

 
Gelombang pembawa bagi alat-alat dalam kumpulan ini menggunakan jalur pancaran hampir infra merah dengan jarak gelombang lebih kurang 0.9µm.

Alat-alat infra merah lebih berpengaruh dalam EDM.
Ini kerana punca gelombang pembawa adalah diod yang memancarkan infra merah gallium arsenid (GaAs). Diod-diod ini boleh dimodulasikan secara langsung amplitudnya dengam mudah pada frekuensi-frekuensi tinggi seperti yang diperlukan untuk EDM. Oleh itu, satu kaedah yang mudah dan murah disediakan untuk menghasilkan gelombang pembawa yang telah dimodulasikan.

Infra merah merupakan satu bentuk pancaran elektromagnet berfrekuensi tinggi, kuasa yang dihantar dalam gelombang pembawa infra merah menurun dengan cepatnya apabila jarak bertambah dan julat bagi alat ini tidak sejauh julat alat gelombang mikro.

Oleh kerana jarak gelombang infra merah hampir dengan spektrum cahaya nampak, gelombang pembawa infra merah boleh dianggap sebagai pancaran cahaya dan cermin satah boleh digunakan untuk membalikkannya, tetapi ini memerlukan penjajaran yang sangat tepat. Sebaliknya, satu bentuk pembalik khas  yang dinamakan prisma kiub penjuru  selalu digunakan. Ini dibina dari penjuru-penjuru kiub kaca yang telah dipotong dalam satah yang membuat sudut 450 dengan permukaan kiub.

Infra merah atau cahaya nampak yang diarahkan ke dalam permukaan yang terpotong, dibalikkan oleh permukaan dalam prisma yang telah disaluti perak. Pemantul seperti ini akan mengembalikan pancaran di sepanjang laluan yang selari dengan laluan sinar datang bagi julat sudut-sudut datang lebih kurang 200 ke garisan normal permukaan depan prisma.Akibatnya, penjajaran prisma menjadi tidak kritikal dan di padang ia lebih cepat disetkan.
Oleh itu, alat-alat infra merah memerlukan satu unit pengukur dan digunakan bersama dengan pemantul kiub penjuru yang pasif.

Untuk mendapatkan pengukuran jarak yang tidak meragukan, banyak sistem telah dibangunkan untuk alat-alat infra merah dan semua menggunakan alat elektromekanik atau elektronik di mana jumlah jarak dipamerkan secara automatik.

Kekurangan utama pada sistem-sistem infra merah adalah keluaran kuasanya rendah.
Akibatnya, dengan menggunakan prisma tunggal, julat bagi alat ini terhad kepada + 1km.
Walaubagaimanapun, dalam kebanyakan alat, julat boleh ditambah hingga 2 atau 3km dengan mengguna pemantul daripada susunan 3 atau 9 prisma.

Untuk kebanyakan kegunaan kejuruteraan di negeri-negeri maju, julat-julat ini adalah mencukupi dan oleh kerana alat-alat infra merah boleh dibuat ringan dan padat, alat-alat ini digunakan dengan meluasnya dalam ukur tanah dan kejuruteraan.

Kejituan yang diperolehi dari alat-alat infra merah biasanya adalah lebih kurang + 10mm, tanpa mengambil kira jarak.

Kemudahan alat infra merah yang paling utama adalah alat ini boleh digabungkan dengan teodolit.
Ini membolehkan sudut dan arah diukur serentak dan dua jenis sistem dikenalpasti iaitu gabungan teodolit dan sistem-sistem EDM dan takimeter elektronik.

Alat Laser

 
Dalam kebanyakan alat EDM, laser neon helium ( l = 0.6328 mm, f = 4.74 x 1014 Hz ) telah digunakan sebagai gelombang pembawa dan penggunaan yang paling berjaya adalah dalam mengukur jarak julat jauh dengan kejituan yang agak baik.

Pengukuran julat-julat jauh boleh dilakukan kerana laser berupaya menghasilkan kuasa tinggi bagi pancaran yang mempunyai sudut pesongan yang sangat rendah.

Kejituan boleh dipertingkatkan kerana laser merupakan satu bentuk pancaran jelas dan stabil, dan frekuensinya boleh dimodulasikan.

Biasanya, julat-julat maksimum bagi alat-alat laser adalah antara 30 dan 60km dengan kejituan
+ 5mm + 1ppm.

Apabila jarak julat diukur dengan EDM, ketidaktentuan atmosfera membataskan kejituan yang diperolehi, tetapi, dengan mengukur jarak dengan alat dua warna, kejituan + 0.1 hingga + 0.2 ppm telah dicatatkan untuk jarak yang melebihi 20km.
Kejituan yang lebih baik ini dicapai denagn mengukur setiap jarak serentak dengan menggunakan dua laser pada jarak gelombang yang berbeza. Ini membolehkan kesan-kesan atmosfera terhapus.