Projek Bekalan Air untuk Kelestarian Diiktiraf
KUALA LUMPUR, 9 Disember 2016 - 'Pilot Project: Water For Life' Kampung Air Sungai Simpul, Sungai Jernih, Selama Perak yang dilaksanakan oleh Pasukan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam Universiti Sains Malaysia (USM) bersama-sama Pejabat Daerah dan Tanah Selama, Perak mendapat pengiktirafan apabila memenangi Pertandingan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) kategori Perkhidmatan Awam hari ini dengan membawa pulang wang tunai RM 30,000.
Pelaksanaan projek ini diketuai oleh Izziantee bt Izzahan dari Pejabat Daerah Selama, Perak. Projek bekalan air untuk membantu masyarakat B40 itu berjaya menyalurkan kemudahan air bersih kepada 48 buah rumah dengan jumlah 202 isi rumah dengan kos sebanyak RM130,000 dan mengambil masa hanya 23 hari untuk disiapkan sebelum air bersih itu dapat disalurkan kepada mereka.