Projek ahli akademik USM pelihara kawasan, bangunan warisan di Melaka tarik minat Ketua Menteri Pulau Pinang

928EBCAF 7DFF 4167 9293 F4B26D2A3372GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat beberapa ahli akademik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM), di pejabatnya dekat Komtar pada 18 Disember 2019.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat turut sertai Kon Yeow dalam pertemuan tersebut.

Rombongan itu terdiri oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Datuk Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah; Dekat Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Prof. Ir. Dr. Taksiah A. Majid; Pemangku Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi & Libatsama Industri-Komuniti), Prof. Madya Ir. Dr. Choong Kok Keong; Pengurus Korporat, Ir. Dr. Shaharudin Shah Zaini dan Pensyarah, Prof. Madya Dr. Mohd. Ashraf Mohamad Ismail.

Mereka, masing-masing membentangkan beberapa perancangan di peringkat Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam USM, serta cadangan kolaborasi strategik dengan Kerajaan Negeri, terutama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) berwajib yang dilihat sejajar dengan wawasan pembangunan masa depan negeri selama 11 tahun sehingga 2030, ‘Penang2030’.

Selepas sesi pembentangan dan perbincangan selama hampir 40 minit, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi menyatakan minat terhadap kerja-kerja pemeliharaan kawasan warisan pada masa hadapan, yang sedang dan akan dilaksanakan oleh pasukan ahli akademik Pusat Pengajian Kejuruteran Awam USM.

Beliau dalam pada itu turut meminta info lanjut daripada rombongan ahli akademik berkenaan mengenai kerja-kerja pendigitalan kawasan serta bangunan di Melaka Tapak Warisan Dunia UNESCO, yang telah siap dilaksanakan.

kredit : Buletin Mutiara

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS