PPKA Anjur Projek "Step Up 2016" Bersama Pelajar Sekolah Tunas Bakti

step1PULAU PINANG, 19 Disember 2016 - Program Step Up yang berlangsung pada 17 dan 18 Disember 2016 lepas melibatkan para peserta daripada pelajar Sekolah Tunas Bakti yang merupakan sekolah pemulihan bagi juvana lelaki yang telah melakukan kesalahan dan seramai 85 orang daripada usia seawal 12 hingga 18 tahun menyertainya.

Program ini telah dirasmikan oleh Prof. Dr. Fauziah Ahmad yang mewakili Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam (PPKA) merangkap Pengarah Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Menurut Ketua Fasilitator, Zul Azmi Mohtar, objektif utama program ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada para pelatih di Sekolah Tunas Bakti ini terhadap perjalanan hidup mereka selepas keluar dari sekolah tersebut.

"Program ini juga bertujuan untuk menunjukkan rasa ambil berat pihak luar terutamanya USM terhadap mereka dan rata-rata pelatih terjebak dengan kesalahan jenayah disebabkan pengaruh rakan sebaya dan juga masalah keluarga," katanya.

Tambahnya, pelajar daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam juga dapat mengambil iktibar daripada perkara ini dan menunjukkan rasa ambil berat terhadap komuniti luar.

"Selain itu, ia juga dapat melahirkan mahasiswa yang berupaya mengaplikasikan pengetahuan kesukarelawanan dan kemasyarakatan bersama orang awam selain menjadi mahasiswa yang mempunyai tahap kemahiran komunikasi yang efektif dalam era globalisasi ini selaras dengan program outcome Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam," ujar lanjutnya.

Program yang berlangsung selama 2 hari melibatkan komponen ceramah dan juga latihan dalam kumpulan dan penceramah jemputan merupakan Prof. Dr Fauziah Ahmad dan Prof. Dr. Ismail Abustan.
step2

Program anjuran PPKA dan Kelab Staf PPKA ini telah dibantu oleh barisan Fasilitator yang terdiri daripada kalangan pelajar PPKA sebagai langkah pendedahan dan pembelajaran kepada mereka terhadap aktiviti kemasyarakatan dan komuniti.

step3

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Zul Azmi Mohtar