Projek Bekalan Air untuk Kelestarian Diiktiraf

nbos13KUALA LUMPUR, 9 Disember 2016 - 'Pilot Project: Water For Life' Kampung Air Sungai Simpul, Sungai Jernih, Selama Perak yang dilaksanakan oleh Pasukan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam Universiti Sains Malaysia (USM) bersama-sama Pejabat Daerah dan Tanah Selama, Perak mendapat pengiktirafan apabila memenangi Pertandingan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) kategori Perkhidmatan Awam hari ini dengan membawa pulang wang tunai RM 30,000.

Pelaksanaan projek ini diketuai oleh Izziantee bt Izzahan dari Pejabat Daerah Selama, Perak. Projek bekalan air untuk membantu masyarakat B40 itu berjaya menyalurkan kemudahan air bersih kepada 48 buah rumah dengan jumlah 202 isi rumah dengan kos sebanyak RM130,000 dan mengambil masa hanya 23 hari untuk disiapkan sebelum air bersih itu dapat disalurkan kepada mereka.



Menurut Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam (PPKA) USM, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, pengiktirafan ini menunjukkan kejayaan peranan kepakaran universiti yang digabungkan bersama agensi kerajaan untuk membantu mereka yang memerlukannya sebagai sebahagian daripada usaha pengembangan ilmu untuk faedah masyarakat.

"Projek bekalan air ini telah membawa teknologi dan kepakaran USM yang seterusnya memberi impak kepada mereka yang memerlukannya," katanya sambil mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pasukan yang dibarisi oleh Profesor Ir. Dr. Mohd Nordin Adlan dan Profesor Dr. Hamidi Abdul Aziz serta seluruh pasukan di PPKA USM bersama-sama rakan pintar lain.

'Pilot Project: Water For Life' tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, YB Dato' Seri Hj. Hamzah Zainudin baru-baru ini.

Pertandingan ini adalah untuk mencari idea-idea lautan biru yang kreatif dan inovatif di bawah tiga kategori iaitu Perkhidmatan Awam, Keusahawanan Sosial dan Keusahawanan Komersil.

Bagi kategori Perkhidmatan Awam, ia menampilkan idea-idea terbaik bagi penyampaian Perkhidmatan Awam yang dapat memberi impak positif kepada kehidupan rakyat dan idea-idea kreatif dan inovatif merangkumi lima bidang fokus iaitu penyampaian perkhidmatan kerajaan, perkhidmatan perumahan dan kerajaan tempatan, kawalan harga barangan dan perkhidmatan, sumber asli dan alam sekitar, pendidikan dan pembelajaran.

Program ini merupakan kelolaan NBOS, MOF, National Strategy Unit dan National Entrepreneurship Development Office dengan kerjasama JPA, AIM, iM4U dan MAGIC.

Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) diilhamkan oleh prinsip-prinsip Blue Ocean Strategy (BOS) yang dicipta oleh Profesor W. Chan Kim dan Profesor Renée Mauborgne. Ia memberikan pendekatan yang kreatif dan sistematik bagi mewujudkan nilai yang tinggi pada kos yang rendah.

nbos12