Air Bukit Bertapis: USM Bantu Penduduk Pedalaman Air Sungai Simpul

AIR BUKIT DSC2838SELAMA, PERAK, 15 Oktober 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkasa program komuniti dengan kejayaan terbinanya Empangan Mini dan Rumah Penuras Kasar bagi saluran air bersih untuk penduduk pedalaman Kampung Air Sungai Simpul, Sungai Jernih, Selama, Perak.

'Pilot Project: Water For Life' Kampung Air Sungai Simpul, Sungai Jernih, Selama Perak dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Selama, Perak ini berjaya menyalurkan kemudahan air bersih kepada 48 buah rumah dengan jumlah 202 isirumah.

Projek yang menelan kos sebanyak RM130,000 itu mengambil hanya 23 hari untuk disiapkan sebelum air bersih dapat disalurkan kepada isirumah berkenaan.

 AIR BUKIT DSC2845

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), YB Dato' Seri Hj. Hamzah Zainudin berkata, ini merupakan usaha murni yang dilaksanakan oleh USM dalam memperkasa serta memudahkan kehidupan golongan terkebawah.

"Saya yakin usaha yang dilakukan oleh USM amat memberi kesan positif dan bermakna buat penduduk kampung ini apatah lagi mereka bakal menikmati sumber air yang bersih," kata Ahli Parlimen Larut itu merasmikan tapak rumah penuras kasar dan empangan mini hasil teknologi ciptaan USM di kampung tersebut hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Pejabat Kolaborasi Komuniti dan Industri, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), USM, Syed Yusof Syed Kechik; Timbalan Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Kemajuan Bandar dan Wilayah, Dato' Dr. Ahmad Jailani Muhamad Yunus; Pengerusi Persatuan Pengguna Air Kampung Air Sungai Simpul, Hamzah Awang Lembik; pegawai-pegawai utama USM dan Pejabat Daerah dan Tanah Selama.

 AIR BUKIT DSC2902

Tambahnya lagi, atas kejayaan USM melaksanakan projek ini, beliau akan memastikan penduduk kampung lain sekitarnya juga bakal menikmati kemudahan ini.

"Saya berharap USM dapat membantu menyalurkan kepakaran dan teknologi kepada kawasan lain dengan peruntukan khas yang akan diusahakan bagi melicinkan proses demikian," katanya.

Syed Yusof Syed Kechik pula berkata, projek komuniti sebegini merupakan kali ketiga dilaksana USM melalui konsep berpasukan dan kesukarelawanan.

"Pihak USM telah menjalankan projek sebelum ini di kampung orang asli Langkor dan Sungai Siput, ini merupakan projek pertama perkampungan pedalaman Melayu bagi tujuan itu," katanya.

 AIR BUKIT DSC2974

Penyelidikan menggunakan medium batu kapur ini telah lama dijalankan oleh penyelidik-penyelidik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam yang diketuai Prof. Ir. Dr. Mohd. Nordin Adlan yang turut memperolehi beberapa pengiktirafan antarabangsa.

Kepakaran Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, USM yang telah menyalurkan air bersih sedemikian di Sungai Siput dan perkampungan orang asli Kampung Langkor menjadi titik tolak kepada kejayaan projek di sini.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin