Perluas jalinan ETS atasi kesesakan lebuh raya - Komentar BH

ETSNIBONG TEBAL, 05 Mei 2016 – Lebuh raya pada masa ini sudah tidak seperti yang kita harapkan dalam memberi perjalanan terbaik, lancar dan paling selamat. Pada musim perayaan dan hujung minggu, kesesakan sering di alami pengguna disebabkan bilangan kenderaan sudah melangkaui kapasiti lebuh raya di Malaysia. Penyelesaian masalah ini boleh diambil dengan mengurangkan bilangan kenderaan di lebuh raya. Ia boleh dicapai degan meningkatkan kadar tol atau harga minyak, tetapi ia langkah tidak popular dan mungkin tidak diambil.

Tingkat Perkhidmatan Rel
Namun penyelesaian masalah itu boleh dicapai jika kita meningkatkan rangkaian dan perkhidmatan pengangkutan awam terutama sistem rel. Sistem Perkhidmatan Tren Elektronik (ETS) ke Utara tanah air sudah popular dan rakyat mula menggunakannya untuk pergi kerja dan urusan rasmi. Bagi menarik keluarga menggunakan khidmat itu, insentif mesti diberi melalui diskaun keluarga tetapi frekuensi dan kapasiti serta tahap perkhidmatan perlu dipertingkatkan. Paling penting adalah perkhidmatan “the last mile”. Apabila tiba ke destinasi, perlu ada pengangkutan untuk ke destinasi terakhir. Ketika ini, kebanyakkan stesen di luar bandar dan pekan kecil seperti Parit Buntar tidak ada perkhidmatan teksi atau bas. Penggunaan SmartTAG yang tidak berfungsi atau Touch’n Go yang tidak cukup menjadikan kesesakan di lebuh raya lebih serius. Dalam aliran lalu lintas tinggi, sebarang gangguan terutama di “bottleneck” seperti plaza tol akan membuatkan kesesakan bertambah secara mendadak dan pantas.

Kelancaran Terjejas
Kelancaran terjejas di lebuh raya juga disebabkan kenderaan barangan yang dibebani muatan melampau melebihi had dibenarkan. Kita sering lihat lori bergerak perlahan yang menjadikan “bottleneck” di lebuh raya. Penguatkuasaan terhadap lori lebih muatan perlu dipertingkatkan supaya tidak memasuki lebuh raya atau berada di atas jalan. Semua plaza tol ditengah lebuh raya seperti Juru perlu ditiadakan kerana ia juga punca berlaku “bottleneck”. Sistem laluan tol terus tanpa berhenti juga boleh membantu tetapi kita belum dapat memperkenalkannya walaupun sudah beberapa kali ia dijanjikan.

(Teks asal Berita Harian, Komentar oleh Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah)

Teks di tulis semula oleh Norafiza Osman / Foto Ihsan: Berita Harian